KAJIAN RUMAH PANJANG MASYARAKAT IBAN DI SARAWAK
Di sarawak rumah panjang merupakan rumah
tradisi kaum Iban. Rumah panjang
mempunyai ciri dan keistimewaan tersendiri dari segi keselamatan dan
kebudayaan. Seni bina ini berpegang teguh
dengan adat tradisi tempatan suku kaum Iban.
Gaya pembinaannya juga tidak dipengaruhi oleh mana-mana masyarakat luar. Rumah panjang kaum Iban mempunyai struktur
dan fungsinya tersendiri. Bahagian-bahagian
seperti bilek, sadau, dapur, tempuan,
ruai dan tanju berfungsi untuk
penghuni rumah panjang hidup dengan selesa.
Dalam rumah panjang, bilik dan bahagian-bahagiannya adalah milik setiap
keluarga dan tanggungjawabnya menjaga serta membersihkannya juga terletak pada
keluarga bilik berkenaan[i].
Selain
itu, rumah panjang kaum Iban juga mempunyai ciri-ciri seperti berikut iaitu
menggunakan tiang jenis kayu dan tidak mudah reput seperti kayu terbelian yang
mudah didapati di Kepulauan Borneo. Bumbungnya
dari daun rumbia seperti Biru, Pantu, Mulong dan jenis daun tebal. Dinding
rumah pula diperbuat daripada kulit kayu seperti terentang atau buluh yang
dikelar dan dibelah. Lantainya pula
menggunakan buluh, papan atau kulit kayu.
Manakala tangga rumah pula diperbuat daripada sebatang kayu bulat yang ditaktik
dengan beliong dan dipanggil sebagai tangga taktik. Rumah panjang mempunyai tiga ruang iaitu tanju, ruai (ruang terbuka) dan bilik. Pada, bahagian di atas bilik dan ruai pula di panggil sadau (peran) sebagai tempat tidur anak dara
disamping tempat menyimpan bijian dan perkakas.
Kajian
ini bertujuan untuk melihat seni bina rumah panjang milik kaum Iban di Rumah
Tinggang, Sibu. Melalui seni bina rumah
ini gambaran jelas menunjukkan kepakaran kaum Iban dalam membina rumah pada
masa dahulu. Kajian ini amat menarik
untuk dikaji memandangkan rumah panjang ini masih mengekalkan stuktur rumah
panjang dan fungsinya juga masih sama walaupun ada sedikit perubahan berbanding
rumah panjang dahulu.
Selain itu, kajian ini turut
bertujuan untuk mengenalpasti struktur rumah panjang di rumah Tinggang. Setiap bilik dalam rumah panjang Iban
terbahagi kepada beberapa bahagian utama iaitu bilek, dapur, sadau, tempuan, ruai
dan tanju. Bahagian-bahagian
ini mempunyai peranan tertentu dalam kehidupan masyarakat Iban.
Disamping itu, kajian ini juga bertujuan mencari pengalaman untuk
memahami seni bina rumah panjang tradisional.
Seni bina rumah panjang Iban yang unik ini akan memberi kefahaman
tentang peranan serta fungsi struktur rumah panjang terhadap masyarakat Iban. Dengan pengalaman mengkaji seni bina rumah
panjang ini pasti dapat memberi kesedaran kepada masyarakat Iban untuk terus mengekalkan seni bina rumah
mereka sendiri.
Tujuan kajian ini juga adalah untuk
menghayati warisan tradisional kaum Iban supaya kaum lain menghargai warisan
mereka sendiri. Kajian ini turut
bertujuan untuk menambahkan pengetahuan dalam seni bina rumah panjang lama
rumah Tinggang. Hal ini demikian, supaya
seni bina rumah ini dapat dikekalkan sehingga ke generasi akan datang.
Permasalahan kajian adalah mengenai
seni bina di rumah Tinggang. Kajian ini
bersesuaian dengan pembinaan rumah panjang yang menjadi tempat tinggal kaum
Iban sekarang. Selain itu, turut melambangkan
kebudayaan dan ciri-ciri kehidupan seharian kaum ini yang jelas ditunjukkan
melalui seni bina rumah tradisinya.
Persoalan utama yang cuba untuk dianalisis ialah adakah ciri-ciri rumah
panjang dahulu dan sekarang masih sama atau tidak. Perkataan rumah panjang ini adalah lahir dari
bentuk rumah itu sendiri. Ia didirikan
secara memanjang semata-mata bertujuan untuk memuatkan seluruh keluarga kaum Iban ini di bawah satu bumbung[ii]. Dahulu rumah panjang ini tiangnya menggunakan
kayu terbelian dan bumbungnya dibuat daripada daun rumbia. Dinding rumah pula dibuat daripada kulit kayu
atau buluh yang dibelah. Lantainya pula
menggunakan buluh, papan atau kulit
kayu. Tangga rumah pula dibuat
menggunakan kayu bulat yang ditaktik dengan beliong.
Sekarang, ciri-ciri rumah panjang berubah seiring dengan peredaran masa
yang membawa bersama pemodenan dan kemajuan.
Tiang rumah pula masih menggunakan kayu terbelian. Ada juga rumah panjang sekarang menggunakan
tiang yang dibuat daripada simen. Dinding atau silingnya akan dilapis dengan
kayu lapis. Lantai rumah juga ada yang
dibubuh jubin yang cantik sekarang.
Selain itu, tangga rumah panjang sekarang juga telah berubah. Hal ini kerana, bahan untuk membuat tangga
sudah berubah dan ada tangga yang menggunakan kayu terbelian dan simen.
Permasalahan yang seterusnya adalah
apakah peranan dan sumbangan rumah panjang terhadap kaum Iban di rumah panjang
Tinggang. Antara peranan rumah panjang
ini adalah sebagai tempat untuk mewujudkan kemesraan keluarga dalam rumah panjang. Sumbangannya
adalah kaum Iban dapat makan dan membincangkan
masalah mereka bersama-sama anggota keluarga di situ. Peranan yang seterusnya adalah memberikan
perlindungan kepada penghuninya. Rumah
panjang ini sebenarnya melindungi penghuninya daripada hujan dan panas dan memainkan
peranannya dengan melindungi barang dan keperluan dan harta benda kaum Iban. Selain itu, rumah ini juga melindungi penghuninya
daripada ancaman bahaya supaya penghuninya hidup dengan selesa di dalamnya. Ini kerana terdapat pelbagai ruang dalam rumah
berfungsi untuk penghuninya beristirehat dan berinterasi sesama anggota
keluarga[iii].
Di samping itu, penulis cuba untuk
meninjau sejauhmana masyarakat masih mendiami rumah panjang atau tidak. Berdasarkan apa yang telah dikaji, kebanyakan
masyarakat Iban di Sarawak masih tinggal di rumah panjang. Bila orang Iban ini mendirikan rumah panjang,
bererti mereka sedang mewujudkan sebuah perkampungan ataupun lebih tepat lagi
sebuah negeri[iv]. Walaupun banyak kaum Iban yang bekerja di
bandar tetapi semasa waktu perayaan Hari Gawai Dayak atau berlaku kematian
saudara mara di rumah panjang, mereka pasti akan datang untuk pulang bertemu
keluarga mereka di kampung.
Seterusnya, sejauhmanakah rumah
panjang mencerminkan kepakaran masyarakat Iban dalam membuat binaan rumah
panjang. Berdasarkan struktur rumah yang
telah dibina seperti bilek, sadau, dapur,
tempuan, ruai dan tanju telah
melambangkan betapa pentingnya kepakaran mereka dalam membina bahagian
ini. Setiap bahagian rumah panjang ini
perlulah ada fungsi kepada mereka. Oleh
itu, kepakaran dalam membina rumah panjang ini perlulah tinggi. Tambahan pula, rumah panjang sukar untuk
dibina kerana memerlukan kekuatan fizikal kaum Iban untuk menjadikan sebuah
rumah itu menjadi rumah tradisi kaum Iban.
Bukti-bukti yang menunjuk kaum Iban
pakar dalam membuat binaan rumah panjang adalah berdasarkan ciri dan fungsi struktur
binaan rumah panjang di rumah Tinggang.
Bahagian seperti bilek adalah salah satu bahagian yang
terpenting dalam sesebuah bilik dalam rumah panjang Iban. Bahagian ini dibina oleh kaum Iban sebagai
tempat ahli-ahli keluarga penghuni rumah panjang berbual atau berbincang
tentang perkara-perkara peribadi mereka
agar tidak diketahui orang lain. Pada
zaman dahulu bilek memainkan dua
peranan, iaitu sebagai dapur dan bilek.
Ini kerana pada waktu itu belum ada lagi bahagian dapur khas untuk
mereka memasak seperti pada hari ini.
Dahulu semasa zaman tradisional bahagian bilek adalah kecil, ringkas dan barang-barang milik keluarga juga
masih sedikit di letak di dalam bilek.
Pada
masa sekarang, umumnya bilek terbahagi
kepada dua bahagian iaitu bilek besai dan bilek atas.
Manakala bahagian dapur pula merupakan bahagian baru yang
terdapat di rumah panjang Iban zaman sekarang.
Bahagian ini dibina sendiri oleh kaum Iban setelah mereka terdedah
kepada seni bina rumah kaum lain di Sarawak.
Di bahagian ini terdapat tempat untuk memasak, iaitu dapur kayu.
Harus diperhatikan bahawa setiap keluarga yang tinggal di rumah
panjang walau semampu manapun biasanya akan mengekalkan dapur kayu sebagai tempat mereka memasak dan sebagainya. Antara salah satu sebab dapur kayu dikekalkan
sehingga kini adalah menurut kepercayaan kaum Iban nasi yang dimasak dengan dapur kayu dipercayai lebih sedap
berbanding dengan nasi yang di masak dengan dapur
gas. Sewaktu berlaku kematian juga
kebanyakan kaum Iban lebih suka masak makanan yang akan dihidangkan kepada
tetamu dengan dapur kayu.
Bahagian tingkat atas rumah panjang
di kenali sebagai sadau. Bahagian ini menganjur dari bilek sehingga ke ruai. Tujuan sadau dibina
oleh kaum Iban dahulu adalah sebagai tempat tidur untuk anak umbong (dara pingitan) dan juga sebagai tempat kaum Iban
menenun pua kumbu. Tangga digunakan untuk naik ke bahagian ini. Dalam adat
Iban, sadau adalah bahagian bilik yang tidak boleh dinaiki sesuka hati
tanpa kebenaran keluarga itu sendiri.
Sekarang bahagian ini masih
dikekalkan sebagai tempat tidur ahli keluarga setiap bilik di rumah panjang.
Tempuan
salah
satu bahagian yang penting dalam rumah panjang.
Tempuan dalam rumah panjang
dibina kaum Iban telah dibahagi kepada dua jenis, iaitu tempuan ruai dan tempuan
bilek. Kedua-duanya dipisahkan
sebuah dinding yang dinamakan sebagai dinding ukoi. Tujuan tempuan ruai dibina adalah sebagai
tempat lalu lalang di dalam rumah panjang.
Dahulu bahagian ini sebagai tempat menambat ayam sabung dan melonggokan
kayu api. Manakala bahagian tempuan
bilek lebih berfungsi sebagai tempat meletakkan alas kaki dan rak kasut
serta selipar milik setiap ahli keluarga rumah panjang.
Ruai
adalah
bahagian luar bilek. Dari segi fungsi dan sebab bahagian ini
dibina sebagai tempat lalu lalang penghuni
rumah panjang cuma bezanya dengan tempuan
ruai adalah saiznya lebih luas. Di ruai ini jelas sekali fungsi dan kepentingannya kepada penghuni rumah panjang iaitu sebagai tempat
penghuni rumah panjang untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka di
dalam rumah panjang. Pada waktu malam
selepas makan penghuni rumah panjang lebih suka berkumpul di ruai untuk
bercerita tentang aktiviti yang mereka lakukan pada hari itu.
Dalam rumah panjang Iban sekarang, tanju terbahagi kepada dua jenis iaitu tanju ruai dan tanju bilek. Di bahagian tanju ini selalunya diletakkan tong air
untuk menadah air hujan, ampaian pakaian dan kadang-kadang tempat sangkar ayam
atau binatang peliharaan seperti burung dan sebagainya. Tanju juga
selalu menjadi tempat untuk kaum Iban menjalankan upacara ritual mereka. Jelaslah bahawa kemahiran kaum Iban dalam membuat
rumah menunjukkan kaum ini memang pakar.
Fungsi-fungsi struktur rumah ini melambangkan setiap bahagian dalam
rumah ini memang penting terhadap masyarakatnya. Setiap bahagian struktur rumah dibuat dengan
menggunakan kayu belian pada masa dahulu.
Sekarang bahagian ini telah berubah kerana bahan-bahan binaan baru
seperti simen, jubin dan sebagainya dipercayai lebih mudah didapati berbanding
dengan kayu terbelian. Lagipun kayu
terbelian sukar untuk dicari di hutan.
Kepentingan kajian ini adalah untuk
mengekalkan seni bina rumah panjang dahulu untuk dilihat oleh generasi akan
datang. Sekiranya seni bina ini tidak
dikekalkan pada masa akan datang ia hanya akan menjadi kenangan sahaja. Oleh itu, seni bina rumah panjang ini perlu
dikekalkan supaya generasi akan datang akan terus membina rumah mereka mengikut asal seni bina kaum mereka sendiri.
Kajian ini juga penting untuk
mengekalkan ciri-ciri seni bina rumah panjang supaya seni bina terdahulu
tidak ditinggalkan. Hal ini
kerana seni bina dahulu boleh digunakan untuk menarik perhatian pelancong
melihat ciri-ciri rumah panjang lama.
Tambahan pula, seni bina rumah panjang Iban jarang sekali dapat dilihat
oleh pelancong di luar negara.
Selain itu, kajian ini turut penting
untuk mengekalkan kaum Iban terus tinggal di rumah tinggalan nenek moyang
terdahulu iaitu rumah panjang. Tujuannya
adalah supaya kaum Iban nanti mahu terus tinggal di rumah panjang walaupun
terdapat pelbagai corak seni bina rumah lain yang cuba untuk menggantikan seni
bina rumah panjang. Rumah panjang ini
sebenarnya melambangkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan kaum Iban.
Skop kajian dalam penulisan ini
meliputi jangka masa 25 tahun iaitu dari tahun 1988 hingga tahun 2013. Perbincangan dalam kajian ini akan
membincangkan serba sedikit tentang
sejarah seni bina rumah panjang di rumah tinggang khususnya dari aspek tarikh
pembinaan, lokasi dan susun letak atau
atur kawasan, kos pembinaan dan segala yang berkaitan seni bina rumah panjang
kaum Iban dengan lebih mendalam.
Dahulu rumah panjang Tinggang ini
mula dibina pada tahun 1985 oleh kaum Iban sendiri pada masa itu. Masa itu kaum Iban baru sahaja berpindah dari
tapak rumah lama mereka yang berhampiran dengan Sungai Angkung. Kemudian mereka pindah ke hulu sungai supaya
mereka lebih dekat dengan kawasan petempatan kaum Iban yang lain. Setelah rumah panjang baharu siap dibina barulah
mereka pindah bersama-sama.
Kedudukan rumah panjang Tinggang
dahulu bersesuaian dengan corak hidup kaum Iban yang mengerjakan padi bukit. Menurut penghuni rumah panjang di situ kos
pembinaan rumah panjang ini dahulu masih
rendah kerana rumah panjang dibina sendiri oleh kaum Iban. Secara kasar, anggaran kos pembinaan sebuah
bilik dalam rumah panjang Iban adalah lebih dari RM2,000 ke atas. Tambahan pula, kaum Iban mempunyai kepakaran
tersendiri dalam membina rumah panjang dan mereka tidak perlu berbelanja besar
untuk mengupah orang lain untuk membina rumah.
Perkara utama yang dibincangkan dalam
skop kajian ini ialah cara pembinaan dan fungsi struktur rumah dahulu dan sekarang. Cara pembinaan rumah panjang adalah
berdasarkan kepercayaan kaum Iban tersendiri.
Dalam membuat rumah perlulah mengikut adat berumah yang telah ditetapkan
oleh tuai rumah panjang itu sendiri. Apabila sesebuah rumah
panjang hendak dibina atau dibina semula, ia mestilah mendapat persetujuan ramai[v]. Menurut kepercayaan Iban, dalam mendirikan
rumah panjang, ia patut menghadap ke arah matahari terbit.
Walau bagaimanapun, kedudukannya
bukanlah secara menegak menghadap matahari. Ia harus didirikan agak serong sedikit kerana
dipercayai kedudukan yang menegak menghadap matahari boleh menyebabkan rumah
menjadi panas. Selepas itu, barulah rumah mula dibina oleh kaum
Iban. Selain itu, rumah yang dibina haruslah
mengikut adat berumah supaya proses pembinaan dapat dijalankan dengan baik. Skop kajian ini juga turut merangkumi fungsi
struktur rumah panjang dahulu dan sekarang.
Aspek geografi kawasan juga boleh
mempengaruhi struktur binaan rumah
panjang memandangkan ia mempunyai kaitan dengan tajuk kajian. Kedudukan rumah panjang yang strategik
berhampiran dengan sungai telah memudahkan aktiviti harian penghuni rumah
panjang berjalan dengan lancar. Dahulu
sungai memainkan peranan penting kerana masa itu belum ada lagi jalan darat
yang menghubungkan rumah panjang Tinggang.
Oleh itu, sungai menjadi jalan air yang utama sebagai laluan untuk
penghuni rumah panjang menjalankan aktiviti seperti menangkap ikan dan sebagainya ketika itu.
Terdapat beberapa kajian lepas berkaitan
dengan Seni Bina Rumah Panjang Kaum Iban, di Sarawak yang telah diterbitkan. Antaranya adalah penulisan Amran dan Hamidah
Hussain (1993) yang berjudul Rumah
Panjang. Menurut kajian yang telah
dibuat oleh mereka, apabila sesebuah rumah hendak dibina atau dibina semula ia
mestilah mendapat persetujuan ramai.
Penulisan Cheng Siok Fah@Sophea Endik
(1994/95) yang berjudul Rumah
Panjang:Satu Tinjaun Etnologi Di Daerah Kecil Betong, Sarawak juga turut menerangkan
secara ringkas mengenai kepentingan pembinaan rumah panjang berasaskan adat
dalam masyarakat Iban. Beliau juga
menjelaskan tentang struktur rumah panjang Iban yang melambangkan kehidupan
mereka teratur. Selain itu, beliau juga
menjelaskan bahawa ada perubahan dari segi bahan binaan serta fungsi bahagian
struktur rumah.
Selain itu, terdapat juga kajian yang
dibuat oleh Mahlike Mahli (1984) yang berjudul Seni bina Rumah Panjang Kaum Iban Di Sarawak. Penulisan ini menerangkan secara ringkas
sejarah kewujudan rumah panjang, pembinaan rumah panjang dan segala aspek yang
berkaitan dengan penganalisaan ruang dalam rumah panjang kaum Iban.
Terdapat juga penulisan tentang rumah
tradisional di Malaysia yang terdapat dalam bab buku teks Kajian Tempatan Sekolah Kebangsaan Tahun 4 halaman 37 yang berjudul
Fungsi Rumah kepada Manusia. Buku
teks ini juga menerangkan secara ringkas mengenai pembinaan rumah dan termasuk
juga pelan ruang rumah untuk menunjukkan kedudukan ruang sesebuah rumah.
Dalam menjalankan penyelidikan ini,
penulis menggunakan tiga kaedah iaitu kaedah perpustakaan, temubual dan kaedah
tinjauan. Dengan menggunakan kaedah
perpustakaan penulis dapat mengumpul maklumat dalam bentuk sekunder seperti
buku, contoh tesis penulis lain dan sebagainya.
Sumber-sumber ini diperolehi daripada perpustakaan Sekolah Menengah Jalan Oya.
Penulis
juga menggunakan kaedah menemubual penghuni rumah panjang untuk mendapatkan
maklumat secara terperinci mengenai seni bina rumah panjang di rumah
Tinggang. Selain itu, penulis turut
menggunakan teknik tinjauan di sekitar rumah panjang Tinggang. Tujuannya adalah untuk mendapatkan gambaran
yang lebih jelas mengenai rumah panjang tersebut.
Kesimpulannya, berdasarkan kajian
yang telah dibuat dapat diperhatikan bahawa orang Iban di rumah panjang
Tinggang adalah kaum yang rajin dan berdikari.
Setiap struktur rumah panjang
yang dibina sendiri melambangkan betapa kaum ini mahir dalam membuat rumah. Perubahan aktiviti orang Iban serta juga
pendedahan mereka terhadap pemodenan telah menjadi faktor adanya perubahan dari
segi bahan binaan serta fungsi bahagian-bahagian rumah ini sekarang. Selain itu, perubahan yang berlaku dalam
hidup orang Iban sekarang banyak membezakan hidup mereka dahulu. Pengekalan adat dalam rumah panjang akan menyebabkan hidup orang Iban dalam
keadaan lantang (senang) selalu. Berdasarkan kajian yang telah dibuat, setiap
bahagian dalam bilik rumah panjang Iban merupakan hak dan tanggungjawab
keluarga bilik yang mendiaminya. Bahagian-bahagian
bilik ini haruslah dijaga dan diperbaiki selalu sekiranya rosak, khasnya
bahagian luar, iaitu tempuan ruai, ruai dan
tanju ruai. Sekiranya terdapat sesiapa yang tercedera
akibat kerosakan bahagian-bahagian ini, tuan bilik berkenaan boleh didenda
sebanyak RM8[vi]. Bahagian lain seperti bilek, sadau, dapur, tempuan dan ruai juga perlu dijaga dengan baik dan
sentiasa bersih supaya rumah panjang sentiasa kelihatan bersih selalu.
[i]
Cheng Siok Fah@Sophea Endik, “Struktur dan Fungsi Rumah Panjang”, dalam Rumah Panjang:Satu Tinjauan Etnologi Di Daerah Kecil Betong, Sarawak, Cheng Siok
Fah@Sophea Endik, 46 (Jabatan Pengajian Melayu UM KL 1994/95)
[ii]
Malike Mahli, “Senibina rumah panjang kaum Iban di Sarawak”. Diploma Thesis,
Institusi Teknologi MARA, 1984.
[iii]
Dayangku Fadariah binti Mat Desa, Mohd Faizullah bin Buyong, Rape’ah binti
Ahamed. Kajian Tempatan Sekolah
Kebangsaan Tahun 4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005.
[iv] Derek Freeman. “ Report On The Iban”. The Athlone Present, New
York, 1970 hal. 1
[v] Amran Abdullah dan Hamidah Hussain. Rumah Panjang. Petaling Jaya, Selangor:
Peerbit Prisma Sendirian Berhad, 1993.
[vi]
Cheng Siok Fah@Sophea Endik, “Bahagian-bahagian Dalam Bilik”, dalam Rumah Panjang:Satu
Tinjauan Etnologi Di Daerah Kecil
Betong, Sarawak , Cheng Siok Fah@Sophea Endik, 63 (Jabatan Pengajian Melayu
UM KL 1994
BIBLIOGRAFI
Amran
Abdullah dan Hamidah Hussain. Rumah
Panjang. Petaling Jaya, Selangor:Penerbit Prisma
Sendirian Berhad,
1993.
Cheng
S iok Fah@ Sophea Endik,
“Struktur dan Fungsi Rumah Panjang”, dalam Rumah
Panjang:Satu
Tinjauan Etnologi Di
Daerah Kecil Betong, Sarawak, Cheng Siok F ah@Sophea
Endik, 46 (Jabatan
Pengajian Melayu UM KL
1994/95)
Dayangku
Fadariah binti Mat Desa, Mohd Faizullah bin Buyong, Rape’ah binti Ahamed. Kajian
Tempatan
Sekolah Kebangsaan Tahun 4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
2005
Derek
Freeman. “Report On The Iban”. The
Athlone Present, New York, 1970 hal.1
Malike
Mahli, “Senibina rumah panjang kaum Iban di Sarawak”. Diploma Thesis, Institusi Teknologi
MARA, 1984.
terbaik.
ReplyDeleteterbaik
ReplyDeleteThank you so muchh!🎉
ReplyDeleteVery helpful.thank you so much
ReplyDeleteThanks
ReplyDeleteThanks . It's help me to finish my project. I were searching this for long tome. I fond it now. Can you write answers for ( mengapakah kita perlu mengekalkan warisan negara)this question.
ReplyDeleteI LOVE IT...
ReplyDeletetq
ReplyDeleteTq for this information
ReplyDeleteThanks for helping
ReplyDelete